BERSIH beri gred D: Kerajaan terbuka terima pandangan, kritikan

BERSIH beri gred D: Kerajaan terbuka terima pandangan, kritikan

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil maklum dan sentiasa terbuka dalam menerima sebarang pandangan serta kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, maklum balas yang diberikan pelbagai pihak adalah penting dalam membantu kerajaan untuk mengurus program reformasi serta mengimbangkannya.

“Saya mengalu-alukan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai keutamaan berbeza mengenai apa yang mereka harapkan.

“Saya rasa setiap kumpulan berhak memberikan maklum balas mereka dan sebagai anggota Kabinet, saya tidak melihat sebarang maklum balas secara negatif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang memberikan gred ‘D’ terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pandan itu berkata, keutamaan sesuatu agenda amat penting, namun ia perlu diimbangi antara program kerajaan yang menguruskan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi, gaji dengan reformasi struktur dalam perspektif hak asasi manusia, pembaharuan undang-undang dan sebagainya.

“Beberapa reformasi besar sudah dimulakan, tetapi ia mengambil masa. (Sebagai contoh) pemisahan kuasa pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara dimulakan lebih daripada setahun yang lalu, tetapi ia mengikut garis masa tertentu.

“Sudah tentu, kita perlu melaksanakan apa yang kita fikirkan sebagai cara paling harmoni untuk melaksanakan reformasi sambil berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masyarakat.

“Jika kita hanya fokus kepada satu segmen sahaja, kita mungkin mendapat markah A daripada BERSIH tetapi mungkin diberi markah F dalam perkara lain. Oleh itu, fokus kita adalah untuk mengimbangi semuanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya