PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjuarai agenda reformasi yang didakwa sudah dilupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menterinya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu mesti segera merangka strategi dan melaksanakan gerak kerja untuk meyakinkan rakyat bahawa kebolehan dan kemampuan mereka memimpin negeri serta negara.
Katanya, semua ahli Bersatu diminta kembali merapatkan saf dan memperkukuh kesatuan sebagai sebuah keluarga besar.
“Para ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bukan saja mesti membawa suara akar umbi, tapi mesti turut menjuarai agenda reformasi yang sudah dilupakan oleh Anwar dan menteri-menterinya.
“Tunjukkan bahawa Malaysia akan jadi lebih baik jika kita yang memimpin. Kita mesti lebih vokal menyuarakan polisi-polisi alternatif untuk membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat, kerana kerajaan PH-BN hari ini sudah terlalu nyata kegagalannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful diisytiharkan menang jawatan MPT apabila berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan 20 anggota yang memenangi kedudukan tersebut.
Dalam pada itu, Wan Saiful mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para perwakilan Bersatu seluruh negara yang memberi mandat kepadanya untuk sekali lagi mengisi kerusi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Ini adalah satu mandat berat, untuk membantu parti memenangi siri pilihan raya yang mendatang,” katanya.
Beliau kemudian mengingatkan bahawa undi protes sudah tamat dan rakyat mahu melihat kompetensi dan kemampuan Bersatu.
“Jika mengharap undi protes sahaja, kita akan kalah. Kita wajib bermuhasabah mengenal pasti kelemahan parti, baik daripada segi pengurusan mahupun perjalanan pemilihan. Tapi kita mesti gunakan saluran dalaman parti untuk menyelesaikan semua perkara dalaman parti.
“Jangan pula perkara dalaman ditaburkan untuk kegunaan musuh menyerang parti sendiri. Kita juga mesti mengenal pasti, melatih dan membentuk barisan pelapis kepimpinan parti dan bakal-bakal calon pilihan raya seberapa awal yang mungkin,” katanya.
Tambah beliau, kini masa untuk bekerja kerana Bersatu perlu bersedia pada bila-bila masa untuk sebarang kemungkinan. – UTUSAN