PASIR SALAK: Seorang wanita berikrar membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi hasil perniagaan kek secara kecil-kecilan yang diusahakannya di Kampung Pasir Salak, di sini.
Noryusra Yunus, 38, berkata, selepas menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam, Selangor dengan memegang ijazah sarjana muda enam tahun lalu, dia tidak pernah mendapat kerja tetapi bertekad menghabiskan bayaran pinjaman pendidikannya.
“Saya menunggu mendapat pekerjaan sejak 2017 tetapi tiada satu pun panggilan untuk tawaran kerja di jabatan awam. Temu duga semua dapat panggilan tapi keputusannya tidak ada satu pun jawapan sehinggalah saya berkahwin dan mendapat empat anak, masih tiada kerja.
“Begitupun saya tetap berusaha menjelaskan pinjaman PTPTN. Dalam tempoh lima tahun, wang simpanan digunakan untuk membayar balik pinjaman pendidikan.
“Saya bimbang jika bayaran balik tidak dibuat, nama saya akan disenaraihitamkan. Selain itu saya mahu pelajar lain selepas saya juga mendapat manfaat daripada PTPTN.
Atas kesedaran itu saya tetap berusaha membayar semula pinjaman pendidikan,” katanya.Menurut Noryusra, sejak mula membuat kek pada 2019, dia membuat rayuan untuk pengurangan kadar bayaran semula pinjaman dan kini membayar RM100 sebulan.
“Pendapatan daripada perniagaan ini tidaklah banyak namun saya berazam untuk membayar semula pinjaman atas rasa tanggungjawab supaya generasi seterusnya dapat menggunakan wang pinjaman untuk belajar,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sejumlah RM32.29 bilion pinjaman PTPTN setakat 31 Disember tahun lalu belum dibayar balik oleh 2,716,110 peminjam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan RM71.3 billion yang telah dipinjamkan oleh perbadanan itu. – UTUSAN