‘Beri saya peluang bertugas dahulu’ - Pengerusi Nafas

‘Beri saya peluang bertugas dahulu’ – Pengerusi Nafas

ZAINAL RAHIM SEMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) baharu mahu mendengar taklimat daripada ahli lembaga penubuhan badan itu terlebih dahulu sebelum memberi kenyataan.

Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, buat masa ini beliau belum bersedia mengulas mengenai langkah reformasi yang bakal dilaksanakan untuk mengatasi masalah tatakelola dalam pertubuhan tersebut.

Menurut beliau, beliau ingin bertugas terlebih dahulu dan mendengar taklimat daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pendaftar Nafas sebelum memberi sebarang kenyataan.

“Setakat ini saya tidak boleh beri sebarang ulasan. Beri saya peluang dengar taklimat dan bertugas terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Zainal Rahim yang juga bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Nafas baharu berkuatkuasa 8 November.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, pelantikan itu dilakukan atas kepercayaan terhadap kemampuan Zainal Rahim dalam melakukan reformasi LPP melibatkan tatakelola di Nafas.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu juga menafikan reformasi tatakelola dalam Nafas berkait dengan politik kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) mahu menyingkirkan UMNO daripada pertubuhan tersebut.

Pada 1 November lalu, Nafas digantung perlembagaan berkuat kuasa 1 November sehingga penarikan semula diumumkan.

Ketua Pengarah LPP Amir Matamin berkata, ia susulan berlakunya kecelaruan dalam usaha mentadbir sehingga menjejaskan kepentingan pertubuhan terhadap anggota di bawahnya.

Beliau yang juga Pendaftar Pertubuhan Peladang berkata, keputusan itu diambil selepas konflik dalaman berlaku semasa perintah moratorium selama sembilan bulan bermula 7 Februari sehingga 31 Oktober lalu bertujuan memperbaiki tatakelola dan tadbir urus Nafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya