SHAH ALAM: Selebriti versatil, Alif Satar, menasihati penyanyi, Aisha Retno agar tidak patah semangat berikutan pembatalan konsert sulung yang dijadualkan Sabtu hadapan.
Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 34, menyifatkan Aisha memiliki bakat istimewa selain menyarankan penyanyi itu mencari peluang meneroka bakat di luar negara.
“Saya kenal Aisha, dia sangat kuat semangat dan berbakat. Jangan patah harapan dan anggap sahaja ini hanya satu bonggol dalam kerjaya.
“Juga tidak keterlaluan jika saya katakan bakatnya sama dengan seorang penyanyi yang dahulu pernah ke Amerika Syarikat. Waktu dia sama-sama pergi ujibakat dengan saya, artis itu tidak diterima. Tapi bila dia ke Amerika, terus meletup.
“Saya nampak mungkin Tuhan mahu Aisha keluar dahulu baru pulang semula ke Malaysia balik. Kita tidak tahu. Semoga Aisha tidak putus asa. Perjalanan ini terlalu panjang untuknya,” katanya.
Alif yang juga pengacara program Big Stage berkata demikian sebagai senior yang bersimpati dengan nasib yang menimpa rakan seindustri.
Menurut Alif lagi, pembatalan konsert akibat jualan yang tidak memberangsangkan bukanlah perkara yang memalukan sebaliknya perkara biasa yang dilalui ramai artis.
“Benda begini ambil masa, saya sendiri pun lalui banyak perkara. Kalau setakat tiket tidak terjual ia benda biasa, saya dahulu sampai pernah kena ‘boo’ dengan hampir 3,000 pengunjung.
“Saya pasti masanya akan sampai bila Aisha sudah bersedia. Artis seperti Aisha kalau dia nyanyi lagu saduran pun orang akan pergi tengok cuma mungkin ada kesilapan teknikal perancangan pemasaran.
“Kalau melihat kepada bakatnya, saya juga akan bayar hanya untuk tengok dia persembahannya. Dia boleh rap, main alat muzik, bernyanyi dan bernyanyi pelbagai bahasa termasuk Korea,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran Gold Bar dan Dinar di GB Gold, hari ini.
Terdahulu, penganjur, Kharisma Music International mengumumkan pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu hadapan di Zepp Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di Instagram, Aisha memaklumkan pihaknya tidak diberitahu berkenaan pembatalan konsert berkenaan oleh pihak penganjur.
Jelas Aisha, pembatalan konsert berkenaan membuatkannya terlepas peluang untuk beraksi di pentas beberapa festival November ini. -UTUSAN