Berapa jumlah pampasan Duta Enclave?

Berapa jumlah pampasan Duta Enclave?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) diminta untuk menghujahkan mengenai jumlah pampasan yang sesuai bagi tanah tersebut.

Hujahan tersebut juga perlu melibatkan kiraan nilai ganti rugi yang perlu diberikan kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (sekiranya mahkamah berpihak kepada syarikat terbabit), sama ada mengikut nilai harga semasa pasaran atau mengikut nilai tanah tersebut diambil secara salah oleh kerajaan pada 1956.

Selain itu, Semantan Estate yang diwakili peguam, Datuk Cyrus Dass dan kerajaan selaku responden, diminta untuk berhujah berhubung persoalan sama ada Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relif Spesifik 1950 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 13 (Hak Terhadap Harta) Perlembagaan Persekutuan.

Responden diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan Ahmad Hanir Hambaly.

Menurut Seksyen 29(1)(b), dalam mana-mana tindakan sivil terhadap kerajaan, Mahkamah boleh membuat sebarang keputusan dalam bidang kuasanya kecuali membuat perintah untuk mana-mana pihak (plaintif) mendapatkan semula tanah atau harta (yang telah diambil oleh kerajaan), tetapi boleh membuat perintah bahawa plaintif mempunyai hak terhadap tanah atau harta tersebut.

Sementara itu, Seksyen 8 menyatakan mana-mana individu yang diambil hartanya tanpa persetujuan boleh mendapatkan semua asetnya, namun tidak boleh mengemukakan tindakan serupa kepada mana-mana kerajaan di Malaysia.

Sementara itu, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan dengan pampasan yang mencukupi.

Usul tersebut dikemukakan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azimah Omar dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari 2025 untuk pihak-pihak berhujah mengenai persoalan-persoalan tersebut.

Pada prosiding hari ini, panel Mahkamah Rayuan terbabit mendengar rayuan pihak kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Ogos lalu yang membenarkan saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk memindah milik dan mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah terbabit.

Semantan Estate pula merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Oktober 2021 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan tanah seluas 106.542 hektar yang turut dikenali sebagai Duta Enclave.

Syarikat terbabit turut memohon agar perintah pindah milik tersebut dikuatkuasakan sebagaimana diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun, pada ketika isu berhubung ganti rugi ditimbulkan, seorang lelaki di galeri awam yang merupakan wakil pelikuidasi Semantan Estate menyatakan bahawa nilai terkini tanah yang dipertikaikan ialah RM12 bilion.

“(Kerajaan) mencadangkan (ganti rugi) RM5 bilion tunai tetapi nilai semasa ialah RM12 bilion,” ujar lelaki itu dengan kuat dari galeri awam.

Mahkamah kemudian berhenti seketika selama 15 minit.

Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sidang Parlimen berkata, kerajaan sekarang tidak bersetuju untuk memberi pampasan lumayan kepada Semantan Estate.

Beliau turut menyatakan penawa­ran jumlah pampasan oleh kerajaan terdahulu sebanyak RM5 bilion dalam menyelesaikan isu Duta Enclave adalah tidak munasabah, keterlaluan dan terlalu tinggi.

Tambahnya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah mengadakan mesyuarat dengan Semantan Estate dalam usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan termasuk memberikan sebahagian tanah yang masih terbiar kepada syarikat terbabit untuk dibangunkan dengan syarat bekerjasama dengan mana-mana syarikat kerajaan.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya