PETALING JAYA: Pelakon, Zamarul Hisham, mengakui mengalami keresahan selepas diganggu makhluk halus semasa dalam perjalanan ke set penggambaran di Perlis.
Mengimbau kembali pengalaman lebih 20 tahun lalu, ketika itu Zamarul memandu sendirian sekitar jam tiga pagi di sebatang jalan di Kedah sambil memasang bacaan ayat al-Quran.
“Pengurus projek di set penggambaran hubungi saya minta saya lalu jalan di Changlun memandangkan jalan yang biasa saya pergi agak bahaya kerana banyak lori.
“Lepas tol Changlun, jalan akan jadi semakin sempit. Lampu pula ada jalan terang dan gelap. Sebelum itu saya sudah terdetik kali ini mungkin saya akan ‘kena’.
“Tapi saya teruskan juga perjalanan sambil pasang bacaan al-Quran dalam kereta,” katanya menerusi temu ramai di sebuah podcast Sembang Seram yang tular, baru-baru ini.
Jelas Zamarul, sepanjang bergelar pelakon dan melalui pelbagai situasi seram, dia mengakui kejadian di Kedah adalah situasi paling ngeri sekali gus memberi tamparan hebat kepada dirinya.
“Sewaktu melalui selekoh, ekor mata saya sudah lihat ada orang berdiri pakai baju putih labuh, tapi saya buat tidak tahu sahaja. Itulah kali pertama bulu roma saya meremang.
“Sampai di satu jalan gelap, saya nampak benda itu berdiri di tengah jalan dengan rambut panjang ke hadapan. Maksudnya, benda itu lebih laju daripada saya.
“Dalam kepala saya fikir mahu berhenti mengejut atau rempuh? Ketika itu saya jerit ‘Allahuakbar’ sekuat mungkin dan tekan minyak. Nasib baik saya cepat buka mata dan kawal kereta sampailah ke Kuala Perlis,” ceritanya lagi.
Keesokan hari semasa penggambaran di sebuah warung, penduduk kampung memintanya untuk melakukan sujud syukur kerana banyak kejadian seperti itu berlaku di jalan tersebut namun kebanyakannya meninggal dunia.
“Penduduk kata ramai orang yang alami situasi tersebut akan meninggal dunia di kawasan itu kerana kemalangan.
“Selepas kejadian itu, saya tiba-tiba mudah tumbang di set. Keberanian saya sudah hilang. Setiap kali memandu sendirian saya akan buka lampu kereta.
“Bila berubat di hospital, doktor kata saya ada alami keresahan. Ustaz pula kata mungkin saya ‘tertegur’ benda itu,
“Sejak itu saya tidak boleh memandu sendiri, mesti akan ada pembantu yang temankan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Pelakon Lelaki Terbaik Filem ASK 2008 itu perlahan-lahan pulih dan kembali memandu kereta sendirian pada penghujung 2022.
“Pada hujung 2022, saya ada penggambaran di Perlis dan bawa keluarga sekali bercuti.
“Apabila lapan hari sudah biasa memandu sendirian di Perlis, barulah saya dapat semula semangat dan boleh kembali memandu,” tambahnya.