GEORGE TOWN: Masih belum ada ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang tampil secara sukarela untuk menyertai program pemulihan khusus untuk mereka di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid menasihatkan individu yang pernah menyertai syarikat itu supaya segera mengikuti program pemulihan berkenaan.
“Tidak ada sesiapa yang tampil (setakat ini). Mereka pun tidak ada nombor ahli, jadi, kita tidak dapat jejaki mereka.
“Buat masa ini, kita cuma tawarkan kepada mereka program pemulihan berkaitan agama di Kompleks Darul Hidayah (di Nibong Tebal). Kita juga sediakan fasilitator untuk mereka. Ada penginapan sekali. Jadi, kita nasihatkan mereka supaya tampil secara sukarela untuk sertai program pemulihan ini,” katanya di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 16 Oktober lalu memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain Pulau Pinang, lima negeri lain turut mewartakan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.
Susulan itu, beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Johor dan Selangor turut menawarkan proses pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH.
Menurut Mohamad, pada masa ini boleh dikatakan ahli-ahli GISBH ‘hilang’ daripada pandangan umum.
“Boleh dikatakan orang-orang GISBH ini hilang. Mungkin mereka mengubah penampilan, jadi, kita tidak boleh pastikan siapa mereka ini. Premis-premis perniagaan mereka juga kosong selepas operasi pihak berkuasa baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, semua guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di seluruh Pulau Pinang akan menerima elaun tambahan sebanyak RM500 setiap bulan bermula Januari tahun depan.
“Bermula Januari tahun depan, seramai 160 guru-guru di SMAR, SABK dan SRAR di Pulau Pinang akan menerima tambahan elaun RM500 sebulan, mereka sebelum ini menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing.
“Semoga dengan berita baik ini menyuntik semangat para guru untuk memartabatkan Islam di Pulau Pinang melalui pendidikan anak-anak kita, pembangunan agama mesti seiring dengan kemajuan dunia,” katanya. – UTUSAN