PUTRAJAYA: Beli minyak masak paket bersubsidi dari syarikat pembungkus, kemudian dicampur dengan minyak masak terpakai sebelum dijual pada harga yang lebih tinggi.
Itu modus operandi sindiket yang berjaya dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi serbuan Op Tiris di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih, Selasa lalu.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan dilakukan oleh pasukan penguatkuasa KPDN selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan sindiket yang disyaki menyeleweng minyak masak paket.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua premis itu berjaya menemukan anggaran 14,340 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang telah dipotong bungkusan dan disimpan di dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), selain sebahagian yang masih belum dibuka.
“Serbuan pertama melibatkan sebuah kediaman yang disyaki dijadikan sebagai stor haram untuk menjalankan kegiatan memotong minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi dan dimasukkan ke dalam tong simpanan.
“Minyak masak yang telah dipotong dan dikumpul itu kemudiannya akan dihantar ke sebuah premis perniagaan yang membeli dan menjual minyak masak terpakai. Di situ, minyak masak berkenaan akan dicampur dengan minyak masak terpakai,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, premis perniagaan itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai dengan menjadikannya sebagai lokasi pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen yang sah.
Jelasnya, minyak masak yang telah dicampur itu kemudiannya akan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.80 sekilogram kepada pihak industri dipercayai untuk kegunaan biodesel.
“Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sepaket, bila sudah dicampur dengan minyak masak terpakai, sindiket berkenaan boleh jual antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.
“Jadi kita anggarkan sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak enam bulan yang lalu itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM20,000 sehari hasil daripada penyelewengan minyak masak yang dilakukan,” ujarnya.
Armizan berkata, selain rampasan minyak masak, pihaknya turut menyita beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa buah tangki IBC, tiga buah lori serta sebuah kereta mewah yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.
Katanya lagi, seramai 15 individu terdiri daripada 11 lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Mahkamah Majistret Kajang telah meluluskan permohonan reman bagi kesemua individu yang ditahan itu selama empat hari bermula semalam sehingga 16 November,” katanya.
Armizan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit.
Pada masa sama, Armizan turut memberi amaran bahawa tindakan tegas bakal diambil termasuk menggantung dan membatalkan lesen mana-mana individu atau syarikat sekiranya didapati melakukan kesalahan sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan minyak masak bersubsidi. – UTUSAN
//