SHAH ALAM: Selangor memperuntukkan perbekalannya bagi 2025 sebanyak RM3 bilion meningkat 15.6 peratus berbanding belanjawan tahun lalu sebanyak RM2.53 bilion.
Dalam belanjawan tersebut, perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus berbanding RM1.33 bilion atau 52.6 peratus pada tahun lalu yang melibatkan bayaran emolumen kepada kakitangan awam berjumlah RM613 juta, sementara pembangunan pula sebanyak RM1.3 bilion.
Peruntukan bagi rang undang-undang perbekalan negeri itu adalah kira-kira 31 peratus daripada Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM4.365 bilion berbanding RM3.614 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM751.46 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga 13 November lalu hasil negeri mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2.433 bilion bersamaan 110.43 peratus berbanding sasaran pada tahun ini sebanyak RM2.2 bilion.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hasil cukai mencapai kutipan sebanyak RM704.95 juta atau 94.52 peratus, sementara hasil bukan cukai pula mencatatkan RM1.498 bilion atau 122.21 peratus dan terimaan bukan hasil pula berjumlah RM226.55 juta (99.14 peratus).
“Antara penyumbang utama hasil negeri tahun ini adalah premium tanah iaitu sebanyak RM1.049 bilion bersamaan 48 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM592.65 juta bersamaan 27 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian persekutuan berjumlah RM209.2 juta atau 10 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-15, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu belanjawan negeri pada tahun hadapan yang bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani akan memberi tumpuan antaranya adalah alam sekitar dan infrastruktur, selain kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda.
“Anggaran belanja pembangunan akan memberi tumpuan lebih terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial yang akan memfokuskan kepada kerja menaik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal, naik taraf jalan raya dan saliran.
“Sementara sebahagiannya digunakan untuk promosi Tahun Melawat Selangor 2024 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2025,” jelasnya.
Katanya lagi, bagi alam sekitar, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi penyediaan Pelan Induk Net Zero Cities 2050 bagi melaksanakan ikhtiar perbandaran hijau menerusi Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang digunapakai dalam perancangan dasar di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerajaan negeri berhasrat melaksanakan dasar peralihan tenaga yang dikenali sebagai Selangor Agenda for Green Economy (SAGE) dengan cadangan perbelanjaan sebanyak RM500,000 yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar karbon.
“Selain itu, Selangor juga berhasrat menjadi peneraju sektor tenaga bersih melalui anak syarikat negeri Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) yang mewujudkan kerangka kerja bagi tempoh 2024 hingga 2034 sejajar dengan tumpuan Negeri Rendah Karbon dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1),” ujarnya.
Tambahnya, ia meliputi Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) yang menggunakan janakuasa Gabungan Turbin Gas Kitaran (CCGT) yang dibangunkan oleh Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd.
“Worldwide juga menerajui projek Sisa Kepada Tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat. Projek di Tanjung Dua Belas bakal bermula seawal 2025 dan dijangka beroperasi pada 2027,” jelasnya
Bagi infrastruktur, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan, kerajaan negeri bercadang membelanjakan RM95.98 juta bagi memelihara dan mempertingkatkan jaringan Jalan Negeri merangkumi pembangunan infrastruktur bukan fizikal, projek one-off, pembinaan jambatan, pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan.
“Selain itu, bagi meneruskan Program Turapan Mega bernilai RM50 juta pada 2023 dan RM20 juta pada 2024, kerajaan negeri bercadang untuk memperuntukkan RM50 juta (tambahan) bagi melaksanakan program itu pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN