KUALA TERENGGANU: Terengganu menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri berjumlah RM1.997 bilion tahun depan dengan RM1.733 bilion daripada terimaan bukan hasil.
Terimaan bukan hasil kerajaan negeri itu termasuk dana khas Kerajaan Persekutuan bagi bayaran hasil petroleum sebanyak RM1.634 bilion.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kutipan lain yang diperoleh adalah RM74.10 juta daripada hasil cukai dan RM189.25 juta lagihasil bukan cukai.
Menurutnya, bagi perbelanjaan mengurus pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.887 bilion termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan
“Belanjawan 2025 menunjukkan sedikit peningkatan pembelanjaan mengurus berbanding Belanjawan 2024 iaitu RM1.860 bilion,” katanya
Belanjawan tersebut bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu.
Ahmad Samsuri memberitahu, daripada RM1.887 bilion tersebut, sebanyak RM1.792 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan bekalan dan RM94.99 juta pula untuk perbelanjaan tanggungan.
Tambahnya, di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM385.79 juta diperuntukkan bagi sektor sosial, RM44.28 juta untuk sektor pentadbiran dan RM19.93 juta untuk sektor ekonomi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil daripada sektor perlombongan akan ditambah dengan meminda kadar royalti mineral yang diguna pakai sejak lebih 20 tahun lalu.
Beliau berkata, Pejabat Tanah Galian (PTG) juga meluluskan dua kawasan untuk kajian awal bagi perlombongan unsur nadir bumi selain bekerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar Terengganu (MBI) bagi meneruskan perundingan dengan para pelabur untuk merintis pembangunan industri mineral di Terengganu.
“Selain itu, kerajaan negeri juga dijangka memperoleh hasil daripada pelesenan pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber melalui penguatkuasaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT),” katanya.- UTUSAN