Belanjawan 2025 Perak RM1.52b terbesar dalam sejarah - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025 Perak RM1.52b terbesar dalam sejarah

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) menunjukkan buku Belanjawan Perak 2025 sebelum membentangkannya pada sidang dewan negeri Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak membentangkan Belanjawan 2025 sebanyak RM1.52 bilion, sekali gus merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri itu.

Bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, belanjawan kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM170 juta berbanding RM1.35 bilion tahun, meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM538 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Belanjawan 2025 berteraskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri; Pembangunan Modal Insan dan Belia; Kelestarian Alam Sekitar; dan Keterjaminan Bekalan Makanan.

“Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip yang jelas bahawa setiap langkah yang diambil, setiap dasar yang dirangka dan setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan kehidupan rakyat menjadi lebih baik, walaupun kami sedar jalan ke arah itu ada kalanya penuh dengan ranjau,” katanya semasa membentangkan belanjawan tersebut di sini semalam.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat, diperuntukkan RM45.94 juta yang sebahagian besar peruntukan bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31.0 juta.

“Kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan. Menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025,” katanya.

Menurut Saarani, usaha merangka dan melaksanakan belanjawan negeri berpandukan lima elemen ‘Visi Baru Perak’ yang diilhamkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam buku nukilan baginda, ‘Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration’.

Beliau berkata, lima elemen ke arah Visi Baru Perak yang disarankan Sultan Perak bagi memastikan institusi yang cekap dan telus, membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran, melabur dalam pintu masuk global.

“Selain itu memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan dan memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan,” katanya.

Saarani berkata, pelaksanaan Belanjawan 2025 itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang hampir mencecah RM1.438 bilion menerusi hasil cukai dan bukan cukai, terimaan bukan hasil dan terimaan pembangunan.

Beliau yakin kutipan hasil akan terus meningkat selaras dengan pertumbuhan sektor ekonomi termasuk janaan royalti daripada Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) serta pelaksanaan projek besar seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

Saarani melihat trend itu setelah berjaya mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada 2023.

“Untuk tahun 2024 pula, kita sekali lagi mencipta sejarah apabila seawal bulan Oktober, Perak sudah pun mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion.

“Syukur Alhamdulillah, sukacita saya mengumumkan pada 28 November 2024, Kerajaan Negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan RM1.199 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya