Belanjawan 2025 bawa momentum Perak Sejahtera 2030 - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025 bawa momentum Perak Sejahtera 2030

SAARANI Mohamad menunjukkan buku Belanjawan Perak 2025 sebelum membentangkannya pada sidang dewan negeri Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bagi mengekalkan momentum ke arah merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030, ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ diteruskan sebagai tema dalam belanjawan negeri tahun 2025 yang melibatkan peruntukan RM1.52 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tema itu diterjemahkan berteraskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat; Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri; Pembangunan Modal Insan dan Belia; Kelestarian Alam Sekitar; dan Keterjaminan Bekalan Makanan.

Daripada lima tersebut, fokus pertama menerima hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan melibatkan peruntukan RM628.65.

“Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip yang jelas. Bahawa setiap langkah yang diambil, setiap dasar yang dirangka dan setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan kehidupan rakyat menjadi lebih baik, walaupun kami sedar jalan ke arah itu ada kalanya penuh dengan ranjau,” katanya semasa membentangkan belanjawan tersebut di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat, diperuntukkan RM45.94 juta yang sebahagian besar peruntukan bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31.0 juta.

“Kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan. Menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025,” katanya.

Beliau juga mengumumkan peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab menguruskan infrastruktur pengairan dan saliran akan menerima peningkatan peruntukan pada tahun hadapan yang menjadikan jumlah Belanja Mengurus tahun 2025 berjumlah RM111.5 juta dalam usaha mengatasi isu banjir.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM398.99 juta bagi fokus yang kedua dengan RM135.4 juta di bawah Maksud Mengurus kepada Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta RM22.56 juta kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG).

Beliau juga berkata, selaras dengan persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri bercadang untuk menumpukan kepada beberapa skop utama pembangunan infrastruktur termasuk menjadikan Perak sebagai destinasi Pelancongan Mesra Usia.

Menteri Besar juga memperuntukan RM94.84 juta bagi pembangunan modal insan dan belia yang merupaka fokus ketiga termasuk Bantuan Khas Pendidikan, Bantuan Baucar Buku dan Program Back To School.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM69.79 juta di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar yang merangkumi pengurusan dan pembangunan infrastruktur hutan, selain tujuan operasi Perbadanan Taman Negeri Perak dan pelaksanaan program-program seperti Hari Konservasi Pulau Sembilan dan Global Tiger Day.

Tambah Saarani, kerajaan negeri memperuntukkan RM65.41 juta bagi tujuan Keterjaminan Bekalan Makanan iaitu fokus kelima yang turut membabitkan pembiayaian program pembangunan komoditi pertanian, bangunan dan infrastruktur serta tujuan latihan dan promosi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya