KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Edward Linggu dilantik sebagai Senator Dewan Negara sempena persidangan DUN, hari ini.
Pelantikan Edward adalah bagi menggantikan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Senator pada 9 Disember depan.
Keputusan melantik Edward yang diusulkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu mendapat sokongan 53 ahli Dewan yang hadir manakala, 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak hadir semasa proses undian dilakukan.
Usul melantik Edward disokong oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M. Yahya mengumumkan keputusan undian itu dan memaklumkan tempoh lantikan Edward akan bermula pada 10 Disember depan.
Edward adalah Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan pernah menjadi ADUN Tamparuli pada tahun 1999. – UTUSAN