Bekalan ubat, vaksin mencukupi sebahagian strategi pertahanan negara

Bekalan ubat, vaksin mencukupi sebahagian strategi pertahanan negara

Mohamed Khaled Nordin (tengah) melakukan gimik Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di Pharmaniaga Life Science Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak hanya kekuatan anggota dan jentera pertahanan moden, sebaliknya kecukupan bekalan ubat dan vaksin juga adalah sebahagian strategi pertahanan menyeluruh.

Penganalisis bebas dasar awam, Fahmiza Mohamad Stephen berkata, jika diimbas kembali, pandemik Covid-19 menjadi pengajaran besar di seluruh dunia di mana kesihatan awam menjadi komponen kritikal dalam keselamatan negara.

Beliau berkata, pandemik itu nyata membuka mata dunia bahawa aspek kesihatan tidak hanya perlu dipikul Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya integrasi antara kementerian termasuk Kementerian Pertahanan amat diperlukan bagi memastikan benteng kesihatan negara sentiasa terjaga.

“Sejarah telah membuktikan bahawa krisis kesihatan jauh lebih membunuh dan memusnahkan ekosistem manusia, malah ia telah dibuktikan dengan kehadiran wabak Plague of Justinian (541-542 M), Black Death (1347-1351) dan Spanish Flu (1918-1919).

“Terbaru, Covid-19 (2019 hingga kini) telah mengorbankan lebih 6.95 juta orang di seluruh dunia sekali gus memberi kesedaran penting kepada kesiapsiagaan benteng pertahanan melawan krisis kesihatan seperti ini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, pandemik Covid-19 telah memberi pengajaran bahawa betapa pentingnya keperluan membangunkan kapasiti dalaman untuk menghasilkan ubat-ubatan dan vaksin.

Fahmiza berkata, jika diimbas kembali, Malaysia seperti banyak negara lain terpaksa bergantung kepada negara pengeluar utama vaksin seperti Amerika Syarikat, Jerman, dan China.

“Ketika itu, penghantaran vaksin tertangguh kerana negara-negara pengeluar, terutama Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, mengutamakan vaksinasi domestik terlebih dahulu.

“Keadaan ini memperlihatkan bahawa negara yang mempunyai kapasiti pengeluaran dalaman mampu mengurangkan kebergantungan kepada import dan pada masa sama, menjadi pemain utama dalam diplomasi vaksin.

“Pengalaman ini menunjukkan bahawa kebergantungan kepada negara luar dalam mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan vaksin adalah risiko strategik,” katanya.

Katanya, perasmian fasiliti pengilangan insulin dan vaksin oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 19 September lalu menjadi satu langkah penting dalam strategi pertahanan menyeluruh negara.

Jelasnya lagi, fasiliti ini adalah yang pertama di Malaysia untuk pengeluaran insulin dan vaksin sekali gus memperkukuhkan kemandirian negara dalam memastikan bekalan ubat kritikal seperti insulin, yang dijangka diperlukan lima juta pesakit diabetes menjelang 2030.

“Langkah ini juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Vaksin Negara, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar vaksin menjelang 2030 sekali gus mengurangkan kebergantungan import. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya