KOTA KINABALU: Bekalan air yang terputus sejak dua minggu lalu memaksa pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod mandi di sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari sekolah tersebut.
Hampir 100 orang pelajar tingkatan lima dan enam di sekolah itu mandi di Sungai Milian yang keruh seperti teh O.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, biarpun pihaknya telah menyediakan pam, namun air yang ada tidak boleh menampung keperluan pelajar di sekolah itu.
Maka, pelajar terpaksa mandi di sungai dan pelajar tingkatan satu hingga empat pula diarahkan untuk mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh bekalan air terputus.
“Saya mendapat maklumat daripada guru-guru SMK Tongod bahawa pelajar tingkatan satu hingga empat terpaksa pulang dan belajar dari rumah. Mereka hanya akan dipanggil untuk kembali ke asrama dan sekolah apabila bekalan air telah pulih.
“Saya ingat perkara ini bukan baharu berlaku, dulu pun pernah berlaku. Jadi, saya minta kerajaan, Jabatan Air mengambil langkah penyelesaian tuntas kepada masalah yang sering berlaku.
“Adakah peruntukan tidak cukup atau peruntukan sudah diturunkan tapi, ada kelembapan dari segi pelaksanaan di peringkat bawah.
“Saya tidak nampak ada alasan munasabah kerana setiap tahun kita bahas dan meluluskan belanjawan khusus untuk Jabatan Air tapi masih lagi perkara sebegini timbul,” katanya dalam sidang akhbar di DUN Sabah, hari ini.
Menurutnya, beberapa tahun lalu. bekalan air turut terputus sehingga beliau turun padang dan membeli pam air dan menyediakan takungan agar pihak sekolah boleh mendapatkan air jika berlaku gangguan bekalan.
Kini, masalah sama berulang, beliau meminta Jabatan Air meneliti masalah sebenar agar langkah penyelesaian tuntas dapat diambil.
Biarpun ancaman buaya di Sungai Milian tidak menjadi kebimbangan mereka, namun langkah perlu diambil bagi menyelesaikan dengan kadar segera masalah bekalan air tersebut. – UTUSAN