KUALA LUMPUR: Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu menjual 36 keping tiket VIP konsert penyanyi antarabangsa Andy Lau dan Jay Chou, enam bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Thomas Lee Huat Sheng, 30, didakwa menipu ejen hartanah berusia 38 tahun dalam mendapatkan 16 tiket “Konsert VIP Today…Is The Day Andy Lau Concert Tour 2024 In Malaysia” dan 20 keping tiket “Konsert Seat VIP Jay Chou’S Carnival World Tour 2024 Concert In Malaysia”.
Kedua-dua konsert itu berlangsung pada 24 Oktober hingga 27 Oktober lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil dan 26 Oktober lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah apartmen Zes Point di Bandar Kinrara, Puchong di sini antara 25 Mei hingga 5 September lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara minimun setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela, Norashikin Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang menjaga dua orang anak dan turut mengalami penyakit bipolar.
“Tertuduh tidak bekerja dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun. Dia kini tinggal bersama keluarganya,” kata peguam itu.
Majistret Aina Azhara kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 7 Januari 2025 bagi sebutan semula kes.- UTUSAN