KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya, bulan lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa berusia 41 tahun itu selepas merekodkan pengakuannya dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 26 Oktober lalu.
Tertuduh juga diperintahkan menjalani kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan perlu berada bawah pengawasan polis selama dua tahun bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang merupakan bapa kandung kepada mangsa yang berusia 15 tahun melakukan sentuhan amang seksual bagi tujuan seks di kediaman mereka di Sentul pada pukul 10.45 malam, 1 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan trauma yang dialami mangsa.
“Jenayah seksual adalah kesalahan serius yang dilakukan tertuduh kerana ia adalah pencabulan hak mangsa. Hukum setimpal ini adalah sejajar untuk mencegah dan mengekang jenayah seksual,” kata Siti Pervinah.-UTUSAN