Bantuan Perkeso ubah hidup bekas pemandu lori

Bantuan Perkeso ubah hidup bekas pemandu lori

S. MAGESWARI (kanan) bergambar selepas menyampaikan bantuan peralatan kulinari kepada Mohammad Hafiz Mohd. Salim di Hutan Melintang, Bagan Datuk, kelmarin. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Bekas pemandu lori, Mohammad Hafiz Mohd. Salim, 32, bangkit daripada kemalangan jalan raya yang menimpanya pada tahun 2020 ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dengan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mohammad Hafiz yang juga Orang Berinsuran (OB) Perkeso menyertai program Unit Return To Work (RTW) Pejabat Perkeso Teluk Intan dan mempelajari bidang bakeri serta kulinari menerusi Program Rehabilitasi Vokasional Perkeso.

Menerusi program itu, Mohammad Hafiz kini mengusahakan pembuatan kek pastri di rumahnya sendiri di Kampung Teluk Baru, Batu 8 Hutan Melintang ,di sini.

Menurutnya, buat masa ini dia memasarkan produknya dengan menghantar pesanan ke rumah berdekatan selain pelanggan datang mengambil sendiri tempahan mereka.

Katanya, program pemulihan dan bantuan yang diberikan Perkeso kini mengubah hidupnya apatah lagi selepas dia mengalami kecederaan fizikal dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira empat tahun lalu.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Perkeso yang memberi saya peluang menyertai program Unit Return To Work (RTW) dan Program Rehabilitasi Vokasional Perkeso.

“Menerusi program ini saya bukan sahaja mendapat semangat untuk bangkit daripada kemalangan yang saya alami tetapi juga memperoleh kemahiran dalam bidang bakeri dan pastri yang kini menjadi perniagaan saya.

“Terima kasih juga kepada Tabung Haji yang mengadakan program bersama Perkeso dan memberikan bantuan peralatan dan keperluan membuat bakeri. Bantuan dan sumbangan ini memberikan semangat untuk saya mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Teluk Intan, S. Mageswari Subramaniam memuji semangat Mohammad Hafiz sebagai OB dan pihaknya memberi sokongan berterusan dengan kerjasama Tabung Haji dengan menyerahkan bantuan berbentuk peralatan yang diperlukan untuk berniaga.

Katanya, antaranya peti sejuk, ketuhar elektrik, dulang pembakar aluminium, troli penyejukan keluli tahan karat, mesin pengadun tepung.

Jelasnya, Mohammad Hafiz juga layak menerima Faedah Hilang Upaya kekal RM1,139.25 setiap bulan dan sepanjang hayat bermula Mac 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya