PETALING JAYA: Situasi banjir di enam negeri semakin buruk selepas merekodkan angka peningkatan mangsa yang kini mencecah 35, 261 orang pagi ini.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ), Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 29,022 orang (8,745 keluarga).
Sementara itu, sebanyak 150 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah di negeri berkenaan.
Di Terengganu, lebih 5,000 mangsa banjir kini ditempatkan di 144 PPS yang beroperasi di enam daerah, manakala di Kedah, lima PPS dibuka yang menempatkan 180 mangsa banjir (58 keluarga).
Di Perlis pula, 166 mangsa banjir di tiga PPS selain masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 mangsa banjir) dan Perak (20 mangsa banjir).
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 11,626 (32.97 peratus) adalah lelaki dewasa, 12,537 (35.55 peratus) perempuan dewasa; 5,189 (14.72 peratus) kanak-kanak lelaki; 4,955 (14.05 peratus) kanak-kanak perempuan; 509 (1.44 peratus) bayi lelaki; dan 445 (1.26 peratus) bayi perempuan.
Seterusnya, 1,217 (3.45 peratus) lelaki warga emas; 1,417 (4.02 peratus) wanita warga emas; 632 (1.79 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki; dan 414 (1.17 peratus) OKU perempuan.- UTUSAN