KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 1,383 orang daripada 378 keluarga setakat pukul 3 petang ini.
Jumlah mangsa banjir yang direkodkan pada pukul 4 petang semalam hanya 41 mangsa daripada 10 keluarga di Marang.
Pada hari ini, selain Marang, tiga daerah kembali dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam membabitkan Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, terdapat 35 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di empat daerah ketika ini.
“Besut mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 906 orang daripada 249 keluarga di 16 PPS daerah itu.
“Di Setiu pula, seramai 246 mangsa daripada 56 keluarga berada di tujuh PPS ketika ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Di Hulu Terengganu pula, seramai 164 mangsa daripada 55 keluarga berlindung di 10 PPS manakala di Marang, seramai 67 mangsa daripada 18 keluarga telah dipindahkan ke dua PPS.
Tambahnya, operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS masih berjalan kerana lebih banyak kawasan berisiko banjir akibat hujan lebat ketika ini.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan beberapa jalan telah ditutup kerana dinaiki air dan menasihatkan orang ramai mengikuti laluan alternatif yang dicadangkan.
“Jangan berani ambil risiko untuk meredah jalan yang dinaiki air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- UTUSAN