KUALA TERENGGANU : Sebuah sekolah di Terengganu terpaksa ditutup setelah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir gelombang pertama yang bermula Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Kemaman telah mengambil cuti bencana selama tiga hari bermula Selasa lalu.
Menurutnya, satu lagi sekolah iaitu SK Teluk Kalong, juga di daerah Kemaman turut dijadikan PPS, namun sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana tidak menggunakan terlalu banyak kelas.
“Alhamdulillah, dalam banjir gelombang pertama kali ini, tiada lagi sekolah yang terpaksa ditutup kerana dinaiki air.
“Jalan raya ke sekolah di sekitar kawasan banjir juga masih boleh dilalui seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kemaman menjadi daerah pertama yang dilanda banjir pada Selasa lalu sebelum merebak ke empat daerah lain iaitu Setiu, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, banjir di tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu telah pun pulih sepenuhnya petang semalam dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – UTUSAN