PUTRAJAYA: Bagi melancarkan penempatan sementara mangsa banjir, pegawai daerah kini dibenarkan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan bagi situasi banjir tidak dijangka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pegawai daerah atau pengerusi jawatankuasa bencana daerah boleh menggunakan budi bicara mereka untuk membuka PPS tambahan.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman lalu, ada kawasan yang tidak disediakan PPS tetapi tiba-tiba dilanda banjir.
“Kami putuskan PPS yang tidak berdaftar juga dibenarkan atau dibuka. Itu bergantung kepada kriteria yang digunapakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengaktifkan sebanyak 8,481 buah PPS berdaftar dan dijangka boleh menampung kapasiti kira-kira 2,158,743 mangsa di seluruh negara.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 749 PPS berdaftar di Terengganu yang boleh memuatkan 214,711 mangsa manakala, di Kelantan pula adalah sebanyak 448 PPS dengan kapasiti 175,493 mangsa.
Menurutnya, JKM selaku agensi peneraju kumpulan kerja kebajikan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan mangsa di PPS termasuk keperluan makan minum dan kemudahan lain berada di tahap optimum.
Mengenai situasi banjir di Kelantan, Ahmad Zahid berkata, beliau telah berhubung dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bagi melancarkan operasi mengkoordinasikan banjir membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri.
“Setakat ini, Kelantan merupakan kawasan yang paling terjejas (banjir) dan daerah yang paling terjejas ialah di Pasir Mas dan juga di Tanah Merah.
(Sehubungan itu) kombinasi antara semua pihak amat-amat diperlukan,” katanya.
Berdasarkan info bencana JKM, setakat pukul 3.15 petang tadi, seramai 49,017 mangsa daripada 14,901 keluarga ditempatkan di 400 PPS di enam negeri terjejas.
Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Perlis dan Kedah. – UTUSAN