HULU TERENGGANU: Lima sekeluarga di Kampung Kepah, dekat sini lega apabila sekumpulan pegawai dan anggota Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) membantu mereka berpindah, hari ini.
Noor Hidayu Muhammad, 43, berkata, ketika itu dia sedang bersiap untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumahnya digenangi banjir sedalam 1.5 meter.
Menurutnya, pada mulanya, dia dan suami, Che Wan Samsuri Che Wan Non, 46, yang menghidap penyakit jantung ingin meredah air sejauh hampir 100 meter ke jalan untuk meninjau situasi bagi pastikan keadaan selamat.
“Air mulai naik sekitar pukul 3.30 pagi, melihat paras makin meningkat saya serta suami bersama tiga anak berusia 9 hingga 14 tahun membuat keputusan untuk berpindah awal ke PPS.
“Biasanya saya akan meletakkan anak yang kecil dalam tangki dan menolaknya ke arah jalan, manakala suami pula akan pimpin anak-anak yang lain apabila kami berpindah.
“Risau juga kerana air agak laju. Hari ini kami sekeluarga bernasib baik sekali gus lega apabila ada tentera bantu walaupun agak terkejut apabila tiba–tiba dipenuhi tentera kira-kira pukul 3 petang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepah, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion ke-18, RAMD (Para), Kem Seri Pantai Kuala Nerus, Leftanan Kolonel Mohd. Ashafiq Abd. Aziz berkata, tiga pegawai dan 35 anggota pasukan 18 RAMD (Para) digerakkan ke kawasan tanggungjawab Hulu Terengganu bagi membantu mangsa di kawasan yang terjejas. – UTUSAN