RANTAU PANJANG: Kira-kira 1,000 penduduk di sini dan kawasan sekitar yang bertahan di rumah masing-masing ditenggelami banjir sejak Rabu lalu cemas selepas mendakwa stok bekalan makanan milik mereka semakin berkurang.
Dakwa penduduk, berpandukan kepada situasi semasa ketika ini berkemungkinan besar stok makanan yang disimpan hanya mampu bertahan kurang dua hari sahaja selepas semua premis perniagaan telah ditutup akibat ditenggelami banjir.
Seorang penduduk Fadhli Mat Yusof, 53, berkata, stok bekalan yang disimpan untuk menghadapi banjir semakin berkurang dan hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja lagi.
Menurutnya, ketika ini dia bersama 10 lagi ahli keluarga masih kental bertahan di rumah walaupun hujan masih berterusan.
“Alhamdulillah, paras air sedikit menurun, namun hujan masih lagi berterusan. Sebarang kemungkinan luar jangka boleh berlaku. Jika berterusan, besar kemungkinan kami terpaksa catu makanan atau berlapar.
“Kami tidak mengharap, namun sekiranya ada bantuan dapatlah menampung untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang musim banjir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Osman Khalid, 32, turut berkongsi situasi yang sama dan memberitahu bekalan makanan dirumahnya semakin berkurangan.
Katanya, arus air yang laju dan dalam menyebabkan dia sukar untuk keluar mendapatkan makanan selain banyak premis perniagaan ditutup.
“Ketika ini kami hanya mampu bertahan dengan stok makanan yang ada sahaja.
“Jika ada bantuan, kami amat-amat menghargai,” ujarnya.
Paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap amaran iaitu 11.63 meter sekali gus melepasi bacaan tahun 2023 (11.23) dan 2014 (10.52).-UTUSAN