KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin pulih dengan mangsa terus berkurangan kepada 67 orang daripada 15 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.
Ia susulan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) petang semalam menjadikan jumlah terkini hanya tiga PPS masih beroperasi di dua daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, di Marang, dua PPS yang masih dibuka ialah Dewan Sivik Merchang yang menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.
“Satu lagi PPS di Marang ialah
Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai yang menempatkan 49 mangsa daripada 11 keluarga.
“Di Dungun pula, hanya PPS Balairaya Alor Mak Bah yang menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketika ini, hujan lebat di beberapa kawasan di Terengganu masih berlaku dan orang ramai diingatkan sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca yang berlaku di kawasan mereka.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiada sungai yang telah melepas paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.
Namun, Sungai Nerus di Setiu masih melepasi paras berjaga-jaga ketika ini. – UTUSAN