KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin meruncing dengan mangsa terus mencatatkan peningkatan kepada 40,190 orang daripada 11,240 keluarga setakat pukul 3.30 petang ini.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JLM) terdapat 333 pusat pemindahan sementara (PPS) sedang beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Katanya, banjir di Besut semakin buruk dengan mangsa tertinggi iaitu 15,582 orang daripada 4,214 keluarga berada di 123 PPS.
“Di Hulu Terengganu pula, mangsa terus meningkat kepada 7,073 orang daripada 2,276 keluarga di 63 PPS manakala di Setiu, mangsa juga meningkat kepada 6,785 orang daripada 1,825 keluarga di 54 PPS
“Situasi berlaku di Dungun dengan mangsa bertambah kepada 4,613 orang daripada 1,210 keluarga di 41 PPS manakala di daerah Kemaman, sebanyak 31 PPS disediakan untuk 3,583 mangsa banjir daripada 1,048 keluarga,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, di Kuala Terengganu pula, seramai 935 mangsa daripada 237 keluarga kini dipindahkan ke enam PPS manakala di Marang, pertambahan mangsa hanya sedikit iaitu 812 orang daripada 204 keluarga di lapan lokasi.
Sementara itu, katanya, di Kuala Nerus pula, mangsa terus bertambah kepada 807 orang daripada 225 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS. – UTUSAN