Banjir di Terengganu semakin buruk, jumlah mangsa meningkat - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu semakin buruk, jumlah mangsa meningkat

PENDUDUK menggunakan sampan untuk berpindah ke PPS selepas rumah mereka ditenggelami banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir yang semakin buruk di Terengganu menyebabkan mangsa terus meningkat dengan mendadak kepada 8,215 orang daripada 2,399 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Dua daerah yang telah pulih sepenuhnya dari banjir sebelum ini, kembali dilanda bah lewat petang semalam iaitu Dungun dan Kemaman.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, ketika ini, terdapat 132 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di enam daerah seluruh Terengganu.

Menurutnya, mangsa tertinggi ialah di daerah Besut iaitu 3,205 orang daripada 839 keluarga di 51 PPS daerah itu.

“Di Hulu Terengganu pula, seramai 2,039 mangsa daripada 713 keluarga berlindung di 32 PPS pagi ini manakala di Setiu pula, seramai 2,022 mangsa daripada 577 keluarga berada di 28 PPS ketika ini.

“Daerah yang dilanda banjir semula, iaitu Kemaman pula merekodkan seramai 503 mangsa daripada 141 keluarga di 14 PPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Dungun, seramai 344 mangsa daripada 102 keluarga kini dipindahkan ke lima PPS manakala di Marang, jumlah mangsa ialah 102 orang daripada 27 keluarga dan kesemua mereka berada di dua PPS pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan sebanyak 13 stesen bacaan di lapan sungai seluruh Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Di Setiu, lima stesen merekodkan bacaan melepasi paras bahaya di tiga sungai iaitu Sungai Nerus, Sungai Chalok dan Sungai Setiu manakala di di Besut pula, tiga stesen bacaan merekodkan air melepasi paras bahaya Sungai Besut iaitu di Jambatan Keruak, Kampung La dan Jambatan Jerteh.

Di Kemaman, dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Tebak dan Sungai Kemaman.

Di Hulu Terengganu pula, dua sungai melepasi paras bahaya ialah Sungai Berang dan Sungai Telemong manakala di Dungun, ialah Sungai Dungun iaitu di stesen Kuala Jengai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya