KUALA TERENGGANU: Peningkatan drastik jumlah mangsa banjir terus berlaku di Terengganu apabila seramai 35,124 mangsa daripada 9,687 keluarga terjejas akibat bencana itu setakat pukul 8 pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, terdapat 328 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ketika ini.
Kuala Terengganu menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila seramai 869 mangsa daripada 230 keluarga kini dipindahkan ke empat PPS.
Banjir di Besut semakin buruk dengan mangsa tertinggi iaitu 13,930 orang daripada 3,683 keluarga berada di 117 PPS.
“Di Setiu, mangsa terus meningkat kepada 5,950 orang daripada 1,621 keluarga di 53 PPS manakala di Hulu Terengganu pula, mangsa terus meningkat kepada 5,942 orang daripada 1,838 keluarga di 63 PPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Di daerah Kemaman, situasi juga bertambah buruk apabila 33 PPS disediakan untuk 3,701 mangsa banjir daripada 1,030 keluarga manakala di Dungun, seramai 3,492 mangsa daripada 952 keluarga berada di 44 PPS.
Katanya, pertambahan mangsa hanya sedikit di Marang iaitu 679 orang daripada 173 keluarga di sembilan lokasi.
“Di Kuala Nerus pula, mangsa terus bertambah kepada 561 mangsa daripada 154 keluarga dipindahkan ke lima PPS,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan sebanyak 16 stesen bacaan di 11 sungai seluruh Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini. – UTUSAN