Banjir di Kemaman semakin buruk, 5,000 penduduk terjejas - Utusan Malaysia

Banjir di Kemaman semakin buruk, 5,000 penduduk terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa kawasan di daerah ini terjejas ekoran banjir selepas kediaman mereka dinaiki air sejak petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, antara kawasan yang terjejas teruk ialah di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong melibatkan hampir 500 buah rumah penduduk ditenggelami banjir.

“Hujan lebat hampir 14 jam sejak semalam menyebabkan air mula melimpah ke kawasan kediaman penduduk sejak pukul 2 petang tadi.

“Sehingga petang ini, hasil kerjasama yang baik melibatkan agensi penyelamat, kita dapat memindahkan kira-kira 5,000 penduduk telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

“Selain itu ada penduduk yang berpindah ke rumah saudara mara hanya dalam tempoh kurang tiga jam,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Hanyan berkata, bekalan elektrik di kawasan perumahan itu turut diputuskan buat sementara demi keselamatan penduduk dan pasukan penyelamat.

Menurutnya, selain di Teluk Kalong, kawasan lain yang turut terjejas ialah Kampung Meraga Beris dan Kampung Labohan.

“Pasukan penyelamat mula melakukan pemantauan sejak awal pagi tadi dan kita membantu operasi memindahkan mangsa sejak pukul 3 petang dengan memindahkan pesakit terlantar ibu mengandung dan warga emas ke lokasi selamat,” katanya.

Hanyan berkata, pasukan penyelamat akan terus membuat pemantauan di beberapa lokasi lain berikutan jangkaan air pasang besar setinggi 3.6 meter dijangka berlaku.

“Kita akan membuat pemantauan di beberapa kampung berdekatan muara sungai dan pantai pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk Romzi Zakaria, 41, berkata, dia dan keluarganya merupakan antara penduduk yang terawal dipindahkan di RMM Teluk Kalong berikutan kawasan rumah mereka berada di kawasan rendah.

“Air naik begitu mendadak. Saya bawa isteri dan anak-anak ke PPS lebih awal kerana bimbang perkara buruk berlaku.

“Dalam tempoh kurang dua jam kawasan rumah saya dinaiki air hingga satu meter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya