Banjir: Dataran perniagaan di Ulu Tembeling tenggelam

Banjir: Dataran perniagaan di Ulu Tembeling tenggelam

Kedai kopi dan makanan termasuk wakaf di jeti penambang tenggelam akibat banjir kali kedua di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut. - FOTO/PENDUDUK KAMPUNG BANTAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kawasan Ulu Tembeling dilanda banjir kali kedua apabila air Sungai Tembeling melimpah semula pada pukul 12.30 pagi ini, menenggelamkan dataran perniagaan di Kampung Bantal, kira-kira 130 kilometer dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bantal, Hamdan Ali berkata, selepas 24 jam banjir pertama surut pada pukul 12.30 pagi semalam, bencana itu  berulang semula apabila air Sungai Tembeling berdekatan kampung tersebut melimpah ke dataran di situ.

Beliau berkata, banjir sudah menenggelamkan premis perniagaan di dataran itu hampir melepasi paras bumbung, manakala beberapa buah kedai dan kediaman penduduk yang dipasang tong plastik besar mula terapung, serta ditambat pada pokok besar bagi mengelak dihanyutkan arus deras.  

“Fenomena banjir di kawasan Ulu Tembeling disebabkan cuaca tidak menentu berikutan Monsun Timur Laut, menyebabkan air Sungai Sepia dan Sungai Tembeling melimpah.

“Senario ini sudah lumrah bagi penduduk dan kami sudah bersiap sedia lebih awal kemungkinan banjir lebih besar,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling.

Menurut Hamdan, aktiviti nelayan sungai dan bot penambang di kawasan itu sudahpun dihentikan sejak awal minggu ini, berikutan peningkatan paras air Sungai Tembeling.

Langkah itu juga bagi menjamin keselamatan penduduk susulan arus deras yang menghanyutkan kayu balak dan pokok tumbang.

Katanya, JPKK juga sudah menerima bantuan makanan kering musim banjir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di stor pengkalan hadapan di sini untuk dibekalkan kepada penduduk terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya