MELAKA: Bekalan makanan asas dijamin mencukupi untuk negeri-negeri yang sedang dilanda banjir, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh.
Beliau berkata, kementerian telah menambah bekalan makanan asas sebanyak 30 peratus kepada pemborong, justeru tidak timbul isu stok tidak mencukupi untuk menampung keperluan mangsa.
Ujarnya, sebelum musim banjir, lesen khas telah dikeluarkan kepada pemborong di setiap negeri terlibat bagi menambah bekalan masing-masing.
“Persediaan ini dibuat sejak dua bulan lalu kerana kita bimbang apabila berlakunya banjir, bekalan yang datang dari Kuala Lumpur mungkin terputus, tidak akan sampai di negeri yang dilanda banjir.
“Saya yakin penambahan bekalan sebanyak 30 peratus dijamin mencukupi dan tidak mungkin timbul, jika berlaku kekurangan kepada pemborong.
“Kita tahu Kelantan ketika ini sudah terkepung untuk menerima bekalan dari Kuala Lumpur tetapi stok ini sudah ada pada pemborong-pemborong di sana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan gudang baharu penyimpanan tong komposit gas petroleum cecair (LPG) ACGas Cawangan Melaka di Kawasan Perindustrian Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini hari ini.
Tambah Fuziah, jaminan bekalan itu tidak hanya tertumpu di negeri yang diramal terjejas teruk tetapi semua negeri yang berkemungkinan dilanda musibah berkenaan.
“Dalam masa sama terpulang kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di negeri masing-masing untuk mencorak langkah persediaan yang dirasakan perlu terutama di lokasi yang dijangka dilanda banjir,” katanya.-UTUSAN