KUALA TERENGGANU: Sebanyak 31 jalan termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr. Hasli Ibrahim berkata, ia membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat).
Beliau berkata, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600 m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air sedalam 0.35 m sejauh 100 m.
Menurutnya, antara jalan lain yang ditutup di Hulu Terengganu ialah Jalan Bukit Peneh-Kampung Jak-Kuala Kejir, Jalan Simpang Gaung ke Sungai Tong, Bukit Diman ke Tersat, Jalan Batu 24/Pengkalan Ajal dan Jalan Matang-Kuala Telemong.
“Di Besut, Jalan Kampung Raja/Kampung Lampu, Jalan Jerteh-Keruak, Jalan Seberang Jerteh ke sempadan Kelantan berhampiran Kampung Nangka) serta Jalan Pelagat-Lata Tembakah turut ditutup kepada semua kenderaan.
“Di Setiu pula, laluan yang ditutup ialah Jalan Chalok-Telaga Papan, Jalan Permaisuri-Hulu Seladang dan Jalani Pengkalan Merbau-Pelong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, beberapa jalan yang ditutup di daerah Kemaman pula ialah Jalan Air Putih-Chukai (berhampiran Tasik Biru), Teladas-Air Putih (jambatan lama), Lubuk Lesong-Pelatoh dan Pamam-Ibok.
Tambahnya, di Dungun pula, Jalan Tepus ke Kuala Jengal ditutup di beberapa tempat seperti Rantau Panjang dan berhampiran Riverside Dfarm Resort.
Sementara itu, katanya, jalan menghubungkan Kenyir, Hulu Terengganu ke Gua Musang, Kelantan terpaksa ditutup kerana berlaku kejadian tanah mendap.
“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilakukan dan kakitangan JKR turut berada di lapangan untuk pemantauan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN