KUALA TERENGGANU: Sebanyak 18 sekolah di empat daerah di Terengganu terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana hari ini setelah dinaiki air akibat banjir yang semakin buruk sejak malam tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, enam sekolah terletak di Hulu Terengganu, lima di Kemaman, empat di Dungun dan tiga di Setiu.
Menurutnya, sekolah terjejas di Hulu Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk, SK Padang Setar, SK Tengkawang, SK Padang Setebu, SK Tengku Ampuan Intan dan SK Kuala Ping.
“Di Kemaman pula, lima sekolah tersebut ialah SK Padang Kubu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Putih, SK Pasir Gajah, SK Seberang Tayor dan SK RKT Seberang Tayor.
“Di Dungun, empat sekolah ditutup hari ini ialah SK Pasir Raja, SK Jongok Batu, SK Minda Talong dan SMK Kuala Jengal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
hari ini.
Selain itu, tiga lagi sekolah ditutup ialah di daerah Setiu iaitu SK Sungai Las, SMK Sungai Tong dan SK Kampung Bukit Ulu Nerus.
Ketika ini, banjir semakin buruk di Trengganu dengan 9,005 mangsa berada di 138 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah negeri itu. – UTUSAN