ALOR SETAR: Sebanyak 11 jalan di Kubang Pasu dan enam di Kota Setar terlibat banjir sehingga sebahagian besarnya terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, 10 jalan di daerah itu ditutup sepenuhnya iaitu Jalan Kampung Kubang Betong ke Kampung Kangar; Jalan Jitra ke Bukit Wang dan Jalan Tanah Merah ke Wang Tepus.
Katanya, laluan lain yang terlibat adalah Jalan Titi Besi ke Kampung Pasir; Jalan Kampung Bata ke Kampung Kota Giam; Jalan Kelubi Luar ke Kampung Malau dan terowong Jalan Jitra ke Kampung Kelubi.
“Turut ditutup sepenuhnya adalah Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi; Jalan Batu 9 Jitra ke Alor Rambai dan Kilometer (KM) 32.1 hingga KM33.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan.
“Bagi arah utara di lebuhraya itu, hanya lorong kanan dibuka kepada lalu lintas dan Jalan Asun ke Binjal pula hanya dibuka kepada kenderaan berat,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, empat laluan yang telah dibuka semula sepenuhnya adalah Jalan Kampung Natoi ke Kampung Lembah; Jalan Pusat Pembiakan Ikan Jitra; Jalan Kepala Batas ke Titi Besi dan Jalan Jitra ke Sungai Korok.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, empat laluan di daerah itu turut ditutup sepenuhnya iaitu Jalan Lengkuas/ Kampung Derang/ Batu 11 Jalan Pokok Sena; Jalan Gunung Keriang; Jalan Bukit Pinang-Lengkuas dan Terowong Bukit Pinang.
“Dua laluan yang ditutup separa adalah Jalan Kepala Batas – Hutan Kampung dan Lebuhraya Darulaman dari arah Alor Setar. Pengguna boleh merujuk maklumat semasa untuk laluan alternatif,” ujarnya. – UTUSAN