BUTTERWORTH: Kementerian Ekonomi yakin Banci Pertanian 2024 akan menjadi penggerak utama dalam memastikan perancangan dan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian di negara ini dapat dilaksanakan segera.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, Banci Pertanian 2024 yang diusahakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sudah melabuhkan tirainya dan sekarang berada di peringkat analisis serta akan dibentang kepada kerajaan dalam masa terdekat.
“Kali terakhir negara melakukan banci pertanian adalah pada 2005. Selama 20 tahun kita merancang mengenai keterjaminan makanan, sektor guna tenaga pertanian di negara ini berdasarkan satu penanda aras yang tidak pernah disemak selama 20 tahun.
“Malah, data awal daripada Banci Pertanian 2024 menunjukkan kapasiti pertanian negara selama ini pelaporan rasminya adalah sebenarnya lebih rendah daripada yang dilaporkan.
“Kementerian Ekonomi berharap data ini menjadi penggerak utama untuk kita memastikan segala perancangan dan pelaksanaan untuk membangunkan semula ekonomi berasaskan pertanian akan dapat dipercepatkan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun DOSM di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, data Banci Pertanian 2024 juga merupakan pelengkap maklumat berkaitan parameter utama pertanian sehingga ke peringkat geografi terkecil bagi setiap penduduk di Malaysia.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, DOSM turut memainkan peranan dalam analisis dan pengurusan data hingga ke peringkat terkecil.
“Penyelarasan data di peringkat terkecil seperti di daerah adalah untuk memastikan penyampaian kerajaan lebih cepat dan berkesan.
“Selain mengeluarkan data di peringkat daerah, DOSM juga mengorak langkah ke arah mengeluarkan beberapa statistik utama di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi, tidak ada alasan untuk wakil rakyat, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pejabat daerah yang tidak tahu keadaan semasa di tempat masing-masing,” katanya.
Sementara itu, katanya, selama kurang dua tahun berada di bawah Kementerian Ekonomi, DOSM telah memperkenalkan produk seperti Open DOSM dan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai inisiatif pemodenan untuk meningkatkan perkhidmatan statistik negara.
“Open DOSM memberi akses kepada pelbagai set data interaktif dalam bidang sosial, ekonomi, kewangan dan alam sekitar manakala PADU yang berfungsi sebagai profil maklumat individu dan isi rumah bertujuan menyokong pelaksanaan subsidi bersasar secara adil dan telus,” katanya. – UTUSAN