KUALA LUMPUR: Terus memartabatkan lagu kepuisian, penyanyi, Umar Uzair bakal tampil dengan album Balada Tengkujuh.
Masih dalam pembikinan, album yang memuatkan 10 lagu dihasilkan dengan menggabungkan elemen pop dan nusantara yang jarang diperdengarkan sebelum ini.
“Lagu yang dimuatkan semuanya baharu. Saya berhasrat untuk bekerjasama dengan komposer ternama seperti Ajai dan Julfekar. Tapi perkara itu masih dibincangkan. Setakat ini, saya sudah dapatkan tiga lagu hasil ciptaan Tengku Zainuddin.
“Dalam masa yang sama, saya juga berharap dapat merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi lain.
“Ada tiga nama dalam fikiran saya iaitu Datuk Ramli Sarip, Ziana Zain dan Datuk Francisca Peter. Tetapi perkara ini juga belum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media teater Sakti Merong Mahawangsa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
Disoal pilihan untuk merakamkan album, kata Umar, langkah itu perlu agar penyanyi lagu kepuisian tidak hilang ditelan zaman.
“Sebagai anak seni, saya perlu lahirkan karya baharu agar tidak dilupakan.
“Saya juga pernah terfikir, dalam sambutan lagu-lagu puisi yang masih kurang dalam kalangan masyarakat, terjualkah album ini nanti?
“Tapi saya ingatkan semula diri sendiri bahawa saya buat album ini bukan untuk mendapatkan pulangan semata-mata, tetapi dengan rasa tanggungjawab untuk mengekalkan kelangsungan lagu-lagu puisi dan nusantara,” kongsinya.
Bercakap tentang inspirasi dan motivasi, Umar memaklumkan keinginan menghasilkan album Balada Tengkujuh juga untuk mempromosikan budaya dan identiti tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Ketika berada di Turki baru-baru ini, saya kagum dengan lambakan lagu-lagu tempatan mereka yang mengangkat identiti dan ciri tersendiri.
“Justeru saya tertanya-tanya, kalau di Malaysia, apa lagu yang mengangkat identiti kita? Lagu sebegini susah kita temukan.
“Jenis lagu yang saya ketengahkan bukanlah lagu tradisional. Tetapi lebih kepada pop yang ada nuansa bunyian tempatan yang bertemakan Malaysia dan orang asal.
“Justeru dengan penghasilan album ini, saya harap orang luar dapat melihat identiti Malaysia menerusi lagu,” jelasnya.