GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob di sini, terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membaik pulih jalan tanah yang rosak setiap kali cuaca hujan.
Penduduk mendakwa, masalah itu yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka.
Seorang penduduk Kampung Kacheng, Rahimah Punai, 37, berkata, setiap kali hujan, mereka bertungkus-lumus membaiki sendiri jalan yang rosak bagi memudahan urusan.
“Jika cuaca hujan kami memang susah nak keluar atau pulang ke kampung kerana laluan rosak teruk. Anak kami yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis juga sukar nak balik kerana kenderaan tersangkut di tengah jalan.
“Jika musim tengkujuh kami susah nak dapatkan barang makanan kerana jalan tanah rosak serta air sungai naik,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Jati Roslan, 32, berkata, setiap kali cuaca hujan, penduduk menderita kerana lumpur tanah yang tebal merosakkan rantai dan tayar motosikal.
Katanya, paras air Sungai Puian turut meningkat sehingga memaksa penduduk bergotong-royong mengangkat motosikal ke seberang sungai.
“Penduduk berusaha membaiki kerosakan jalan tanah walaupun tenaga kami tidak seberapa dan prosesnya sukar.
“Kebiasaannya jalan yang rosak teruk bermula dari Kampung Tembaga sehingga ke Kampung Gob. Kami merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan ke kampung kami untuk keselesaan terutama ketika musim tengkujuh,” ujarnya.
Sementara itu, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil maklum masalah yang membelenggu hampir 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob.
“Saya akan memohon kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) agar mempercepat pembinaan jalan yang rosak.
“Laluan ini penting kerana ia adalah jalan perhubungan untuk murid dan pelajar ke sekolah serta membawa pesakit yang sakit atau kes kecemasan,” katanya. – UTUSAN