KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia menggerakkan hampir 4,000 anggota iaitu 190 pegawai dan 3,552 anggota secara keseluruhan, lengkap dengan alatan mobiliti darat dan peralatan sokongan lain menghadapi bencana banjir di negara ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, seramai 31 pegawai dan 350 anggota pula diatur bersama 17 trak satu tan, 16 trak tiga tan, dan 15 bot tempur diatur di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah kepemimpinannya (PTD) bertindak sebagai peneraju Ops Murni bagi menghadapi bencana banjir.
“Prinsip ‘the first onsite’ telah diterapkan, iaitu sejak awal Oktober, perintah awalan dikeluarkan untuk mengenal pasti kawasan hotspot dan memastikan formasi bersiap sedia.
“Tentera Darat turut bergabung dengan beberapa agensi lain untuk menyokong Nadma dalam usaha membantu mangsa banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sjn Mohd Nor Khalid di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan ATM dalam Ops Murni menggerakkan anggotanya ke kawasan banjir di Terengganu bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, kem tentera berhampiran turut diteliti sebagai lokasi PPS sekiranya diperlukan.
Katanya, setakat banjir melanda negara, belum pernah ada kem tentera yang dijadikan PPS untuk menampung ketidakcukupan lokasi selamat itu.
“Dengan hampir 4,000 anggota terlibat, pihak tentera terus memantau keadaan dan bersedia menambah anggota serta peralatan jika situasi bertambah buruk.
“Apa pun yang terjadi, ATM akan sentiasa komited bersedia dan bergerak membantu rakyat yang memerlukan dek bencana banjir ini,” ujarnya.