KUALA KANGSAR: Atlet Muay Thai wanita negara, Nur Amisha Azril Rizal dan dua wartawan merupakan antara penerima pingat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-68 hari ini.
Penganugerahan pingat disampaikan oleh Sultan Nazrin kepada Nur Amisha, 22, dan wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nor Ain Abu Bakar, 38 tahun dan wartawan penyiaran Astro, Abd. Razak Mohd. Ali, 61 tahun.
Mereka merupakan antara 153 penerima anugerah dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 29 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), manakala pingat lain yang berkenan disampaikan oleh Sultan Perak ialah Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 14 orang penerima dan 41 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).
Selain itu ialah Pingat Pekerti Terpilih (PPT) melibatkan seramai 59 orang, dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 10 penerima. Penerima lain kebanyakkan terdiri daripada kumpulan penjawat awam.
Pada 9 November lalu, baginda berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran kepada 59 penerima yang diketuai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Ketika ditemui pemberita, Nur Amisha berkata, dia gembira dengan penganugerahan tersebut dan menganggap pemberian itu sebagai penghargaan terhadap segala pengorbanan dan usahanya dalam sukan Muay Thai.
“Penganugerahan ini juga sebagai pembakar semangat. Sasaran saya tahun 2025 ialah untuk mendapat pingat emas dalam Sukan SEA di Thailand akan datang dan pingat emas di kejohanan Muay Thai dunia,” kata anak jati Perak itu.
Nor Ain yang menyertai bidang penyiaran berita sejak 12 tahun lalu, menyifatkan penganugerahan diterima menjadi pembakar semangat untuknya terus berkarya dan berkata penerimaan itu juga sebagai mewakili seluruh keluarga RTM.
“Sudah tentu pengiktirafan yang besar ini memberi semangat kepada saya untuk terus bekerja dengan lebih lagi dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat,” katanya.
Abd. Razak yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan sejak 1987 termasuk menjadi wartawan Utusan Malaysia berkata, penganugerahan itu adalah pengiktirafan untuk warga media atas kesungguhan memberi khidmat kepada rakyat. – UTUSAN