KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN perlu segera merangka kerangka dasar pengangkutan baharu bagi menghadapi cabaran mega trend global seperti kelestarian alam sekitar, transformasi digital, dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN ke-30 menjadi platform terbaik untuk merancang dan melaksanakan inisiatif yang lebih berimpak tinggi dalam sektor pengangkutan.
“Mesyuarat ini adalah masa untuk tindakan, bukan sekadar perbincangan. Malaysia komited dalam kerjasama strategik untuk memastikan agenda pengangkutan ASEAN terus maju,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-30 di sini, hari ini.
Fadhillah berkata, pembangunan kerangka dasar yang kukuh bukan sahaja penting untuk menangani cabaran semasa, tetapi juga memastikan sektor pengangkutan di rantau ini terus relevan dan mampan pada masa depan.
“Trend global tidak boleh diabaikan. Kita mesti mula mereka dasar dan infrastruktur pengangkutan yang mampu menampung perubahan revolusi ini, termasuk memastikan kemudahan turut mesra golongan rentan di ASEAN,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama erat antara negara-negara anggota ASEAN dalam mencapai model pengangkutan mampan yang menghubungkan pergerakan barangan dan manusia dengan lebih lancar.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, pelbagai kejayaan besar telah dicapai dalam sektor pengangkutan ASEAN, termasuk pelaksanaan Polisi Langit Terbuka ASEAN yang menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik dan akses kepada bandar-bandar di rantau ini lebih mudah.
“Polisi ini bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat ASEAN tetapi juga mendorong integrasi ekonomi. AirAsia misalnya, telah menjadi simbol kejayaan ini dengan operasi perniagaan di hampir kesemua negara anggota ASEAN,” jelasnya.
Dalam sektor darat, Fadillah memuji kejayaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengoperasikan perkhidmatan kargo ASEAN Express Freight Train, yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China.
Perkhidmatan ini, menurutnya, memberi impak besar kepada sektor logistik serantau.
Beliau juga mengulas projek RTS Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada 2026, yang bukan sahaja menghubungkan dua bandar utama tetapi juga membawa manfaat besar kepada integrasi ekonomi dan kerjasama serantau. – UTUSAN