KUALA LUMPUR: Pelakon, Norish Karman, 50, tidak menghalang jika anak-anaknya berminat untuk masuk ke dalam bidang seni.
Bahkan, pemilik nama sebenar Nor’Ashikin Karman menggalakkan dan menyokong cita-cita anak-anaknya asalkan kerjaya yang dipilih mendatangkan kebaikan buat kehidupan dunia dan akhirat mereka.
“Semua anak-anak saya berbakat dan berminat dengan teater. Tapi, sekiranya mereka diketengahkan, biarlah tidak memalukan saya.
“Jangan disebabkan mereka anak saya, mereka masuk ke dalam bidang ini. Sertailah dengan bakat.
“Tapi saya tidak nafikan mereka boleh berlakon dan menyanyi. Mungkin belum ada rezeki untuk mereka masuk bidang ini
“Dan yang paling penting, saya tak akan halang selagi pembabitan mereka tidak menggangu pengajian mereka di sekolah tahfiz,” katanya.
Norish berkata demikian ketika ditemui sempena sidang media Pementasan Purbawara Muzikal: Sulalat ‘Us Salatin: Kemaharajaan Maritim Selat Melaka di Dewan Bahasa Dan Pustaka, baru-baru ini.
Norish pada 1998 mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir namun berpisah pada 2008.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haiqem Amany, Muhammad Hady Amieran, Nur Hanyz Amanda dan Haq Lutfie Alexander.
Pada masa yang sama, pelakon ini juga membesarkan empat orang anak angkat.
Bercerita lanjut, aktres yang berasal dari Singapura ini memaklumkan tidak sesekali membenarkan anak-anak menumpang namanya sekiranya mereka memilih untuk menjadi anak seni.
“Sejak kecil mereka dididik sebegitu. Bahkan, tak ramai yang tahu ibu mereka adalah Norish Karman.
“Saya pula akan pakai purdah dan jarang singgah lama kalau ke sekolah mereka.
“Jadi, sejak kecil, mereka sudah terbiasa untuk tidak dikenali sebagai anak-anak Norish Karman.
“Dan saya akan sentiasa ingatkan mereka, kalau masuk dalam bidang seni, jangan tumpang nama saya. Berdiri atas bakat dan usaha sendiri. Tapi mereka tetap anak-anak saya. Saya juga tidak lupa untuk menasihatkan agar sentiasa jaga nama saya,” kongsinya.