Arus deras, keruh sukarkan operasi cari Nur Arina - Utusan Malaysia

Arus deras, keruh sukarkan operasi cari Nur Arina

SABARODZI Nor Ahmad menunjukkan arus deras Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, Gerik lokasi Nur Arina Azizan dihanyutkan semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Keadaan arus sungai yang deras dan keruh antara kesukaran dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi pencarian seorang wanita yang dikhuatiri lemas di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pusaran air di beberapa kawasan juga menjadi cabaran kepada pihaknya untuk mengesan keberadaan mangsa.

Katanya, operasi pencarian yang memasuki hari kedua itu masih gagal menemukan Nur Arina Azizan, 20, meskipun radius pencarian diperluaskan sehingga 10 kilometer (KM) dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat.

“Operasi mencari mangsa semalam dimulakan di Sungai Air Beruk dimana aliran sungai ini akan mengalir ke Sungai Rui sebelum masuk ke Sungai Perak dalam anggaran 16KM.

“Berdasarkan pemerhatian, arus air di Sungai Air Beruk lebih deras berbanding Sungai Rui namun keadaan air di Sungai Rui pula agak keruh jadi menyukarkan kaedah pencarian secara visual.

“Malah, risiko lain yang ditempuhi pasukan penyelamat adalah kawasan air berpusar yang menghalang akses kita untuk mencari mangsa yang mungkin terperangkap di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba (PKB) di Kampung Padang Stang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan penyelamat yang menyusuri Sungai Rui hari ini mendapati banyak kayu-kayu dan pokok tumbang termasuk kelapa sawit di tepi sungai di mana mangsa mungkin juga terperangkap di kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, lokasi tersebut akan dijadikan tumpuan dalam operasi pencarian esok dengan melibatkan pertambahan anggota dan bot.

“Esok, kita akan turunkan empat buah bot lagi dari bomba dengan jumlah keseluruhan enam bot selain dibantu nelayan tempatan di mana kita akan memperluaskan radius pencarian sehingga 16KM.

“Kita akan fokuskan kepada ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti atau kawasan-kawasan yang mempunyai kayu-kayu dan pokok-pokok tumbang di sekitar sungai,” katanya.

Tambahnya, khidmat dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba juga digunakan dalam operasi mencari mangsa.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang semalam, Nur Arina dihanyutkan arus deras ketika bermain pelampung bersama adik perempuan dan ibunya serta dua sepupu di Sungai Air Beruk, di sini.

Difahamkan, pelampung dinaiki mangsa berpisah dengan yang lain sebelum dia bertindak turun dari pelampung lalu dihanyutkan arus deras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya