KUALA LUMPUR: Bukan sekadar gagal melunaskan tiga bulan gaji kakitangan, sebuah stesen televisyen (TV) milik seorang artis berpangkat Datuk juga didakwa tidak melangsaikan satu tahun bayaran kepada beberapa artis dan pendakwah yang pernah muncul dalam program yang disiarkan menerusi stesen berkenaan.
Perkara ini didakwa bekas kakitangan stesen TV berkenaan yang mahu dikenali sebagai Mr. Jawa, memaklumkan walaupun pelbagai desakan dibuat, pihak stesen penyiaran itu kekal mendiamkan diri mengenai isu tersebut.
“Bukan setakat gaji kakitangan tertunggak tiga bulan, malah ada bayaran artis yang pernah dipanggil untuk program stesen berkenaan tidak dibayar lebih satu tahun.
“Kebanyakan yang berurusan dengan pihak mereka, tetapi bila sampai ke peringkat pengurusan atasan, tiada penyelesaian untuk lunaskan bayaran artis-artis ini,” dakwanya.
Sebelum ini, personaliti TV, Meyra Khan menerusi Instagram turut mendakwa gajinya ketika berkhidmat di stesen TV berkenaan belum dilunaskan.
Meyra turut mendakwa selain isu gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut tertunggak.
Mengulas mengenai isu tersebut, Mr. Jawa meluahkan rasa kesal atas sikap pihak stesen TV berkenaan yang dikatakan terus membisu soal pembayaran gaji tertunggak sekali gus membebankan kakitangan yang masih berkhidmat dengan stesen tersebut.
“Isu gaji tertunggak berlaku sejak bulan Julai, berlarutan sehingga sekarang. Bagi yang sudah menamatkan perkhidmatan, mereka hanya dibayar satu bulan gaji sahaja, masih menagih beberapa bulan (gaji) yang belum dilunaskan.
“Yang membuatkan kakitangan dan bekas kakitangan kesal adalah sikap pihak stesen TV yang terus membisu tanpa membuat sebarang pemberitahun mengenai isu gaji tertunggak,” dakwanya lagi.
Sementara itu, Mr. Jawa juga memaklumkan pekerja dan bekas kakitangan yang terkesan telah bertindak membuat aduan mengenai masalah bayaran gaji itu kepada Jabatan Buruh, selain juga kepada pihak Perkeso dan KWSP.
“Sekarang, perancangan kami adalah untuk tularkan isu ini agar masyarakat tahu apa yang kami hadapi.
“Dan pemberitahuan ini adalah juga satu peringatan kepada selebriti lain supaya tidak berurusan dengan stesen TV berkenaan,” dakwanya.-UTUSAN