Arthur menang tanpa tanding, kekal Presiden PBRS

Arthur menang tanpa tanding, kekal Presiden PBRS

ARTHUR Joseph kurup semasa menghadiri Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PBRS di Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menang tanpa bertanding dan kekal sebagai Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam.

Ahli Parlimen Pensiangan itu mula mengambil alih jawatan Presiden PBRS pada Januari 2023 selepas mendiang bapanya, Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan persaraan daripada dunia politik dan melepaskan semua jawatan di dalam parti.

Dalam pemilihan itu, jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Datuk Richard Kastum yang turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung manakala, Naib-Naib Presiden pula adalah Motusin Bowie @ Matius (Tulid); Nomrin Rosnie Manan (Tanjung Kapor); Vincent Lee @  Lee Yung Soon (Bingkor); Dr Zhamriee Gulam Rasul (Karambunai) dan Fung Hon Yi (Sri Tanjong).

Turut dilantik sebagai Naib Presiden adalah Jessel CP Yansalang yang turut memegang jawatan Ketua Pemuda dan Zainon Kayum Khan (Ketua Wanita).

Sementara itu, Bendahari Kehormat adalah Edward Yong (Sook) dan Ketua Penerangan pula adalah Datuk Freddie Sua.

Arthur berkata, semasa mesyuarat Majlis Tertinggi PBRS pada awal tahun ini, mereka telah memutuskan semua jawatan dibuka untuk dipertandingkan tetapi semua bahagian telah mencalonkannya sebagai Presiden dan tidak ada orang lain yang mencalonkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan akar umbi akan digalas sebaik mungkin dan keputusan sebulat suara itu jelas menunjukkan kesatuan dalam PBRS itu cukup kukuh.

Beliau berkata, mendiang bapanya memimpin parti itu selama 28 tahun sejak penubuhan PBRS pada 1994, jadi untuk kekal relevan, perubahan dalam parti perlu dilakukan mengikut peredaran zaman.

“Namun, masih ada nilai-nilai yang mesti dikekalkan dan tidak boleh diubah seperti nilai integriti serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Itu antara nilai yang telah menjadikan PBRS sebagai parti yang bersatu pada hari ini.

“Walaupun orang buat perbandingan, kita tidak sebesar atau semewah berbanding parti lain, tetapi kita kekal dihormati dengan nilai integriti dan saya rasa itulah nilai yang kita akan kekalkan buat selama-lamanya,” katanya semasa sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PBRS.

Jelas beliau, PBRS terus melakukan pembaharuan dari sudut gerak kerja dan penggunaan digital bagi membolehkan parti tersebut terus berkembang dan kekal relevan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya