KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu bangkit dan tidak lagi menjadi pengikut arus global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, APEC perlu bertindak sebagai peneraju dalam menetapkan piawaian untuk Asia-Pasifik yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan.
Kata beliau, dirinya turut menyebut soal kerangka Ekonomi Madani sebagai bukti jelas yang menggabungkan kekuatan ekonomi dengan keadilan sosial, penjagaan alam sekitar dan keterangkuman.
“APEC harus memperkukuh peranannya sebagai inkubator idea dan menyokong dasar yang mengangkat pekerja, memperkasa PKS, serta meletakkan kelestarian sebagai teras kemajuan, untuk mencipta rantau yang lebih adil dan penuh belas ihsan.
“APEC juga perlu memanfaatkan semangat inovasi memacu usaha kolektif bagi tenaga bersih, kemajuan teknologi, dan amalan lestari yang saling melengkapi,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifikyang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.
Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut menggesa APEC mengambil inisiatif MYSaveFood dalam menangani isu keselamatan makanan.
Jelasnya, inisiatif tersebut sudah berjaya mengurangkan separuh pembaziran makanan selain usaha mempromosikan amalan pertanian mampan.;
“Mengakhiri sesi intervensi, saya nyatakan bahawa pemimpin ekonomi APEC harus tinggalkan kesan menerusi usaha mereka terhadap rakyat keseluruhannya.
“Kesemua pemimpin Ekonomi APEC juga bersetuju mengesahkan Deklarasi Machu Pichu yang menekankan inovasi, digitalisasi, tenaga bersih dan keselamatan makanan bagi menyokong agenda inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat untuk memperkukuh daya saing perniagaan dan meningkatkan kemakmuran serantau,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dirinya sekali lagi singkap terkait genosid yang berlaku di Gaza pada hari terakhir Pemukiman Pemimpin APEC (AELW) yang berakhir hari ini.
“Adalah sangat menyenangkan untuk melihat APEC yang kebiasaannya memberi fokus kepada ekonomi dan perdagangan, turut membincangkan kekejaman terhadap rakyat di bumi itu yang kita memilih untuk abaikan dan ia bertentangan dengan semangat sebenar kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN