KOTA KINABALU: Paparan video menunjukkan kehadiran usahawan terkenal, Datuk Seri Vida melakukan aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) di Pulau Sipadan, Semporna menimbulkan tanda tanya.
Pengerusi Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Suzimin Edris berkata, sepanjang November, semua pengusaha pelancongan dan penyelam tidak dibenarkan melakukan aktiviti di Pulau Sipadan.
Menurut beliau, jadi rakaman video tular yang menunjukkan Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman melakukan DSD menimbulkan tanda tanya.
“Sebenarnya Pulau Sipadan itu tutup sepanjang bulan ini jadi, kenapa beliau (Datuk Seri Vida boleh masuk. Adakah beliau dapat keistimewaan.
“Kami mahu tahu kenapa dia boleh masuk dan buat Discovery Scuba sedangkan keperluan asas menyelam di Pulau Sipadan adalah mereka yang memiliki lesen Advanced Open Water (AOW),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penutupan Pulau Sipadan pada setiap bulan November dilakukan bagi tujuan restorasi terumbu karang di perairan yang terkenal dalam kalangan penyelam skuba itu.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim berkata, kehadiran Vida adalah sebagai pelabur swasta yang ingin menyelam di pesisir pantai secara terhad.
“Aktiviti yang dilakukan bukanlah selaman komersil oleh pelancong sebaliknya, ia dilakukan oleh tetamu TTS,” katanya.
Beliau berkata, pegawai Taman-Taman Sabah memang dibenarkan untuk menyelam sepanjang tempoh restorasi untuk pemantauan dan pemerhatian di dasar laut. Isu kali ini juga adalah sedemikian.
Jelasnya, apa yang dipaparkan dalam video itu adalah aktiviti pihak TTS cuma kebetulan ada kehadiran tetamu yang merupakan pelabur swasta. – UTUSAN