PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Donald J. Trump selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden AS.
Perdana Menteri menerusi laman sosial Facebook berkata, kemenangan ini akan membuka peluang baharu serta melangkah ke hadapan.
“Tahniah kepada Donald J. Trump atas kejayaan politik yang luar biasa dan kemenangan dalam pilihan raya Presiden AS.
“Episod baharu ini membuka peluang yang diperbaharui dan kami bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan optimisme, kerjasama dengan tujuan bersama.
“AS kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia-Pasifik. Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap agar AS akan memperkukuh penglibatannya di Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa AS menggunakan pengaruhnya bagi membantu membanteras keganasan di Palestin dan Ukraine.
“Kami juga menggesa AS supaya menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menghentikan keganasan dan kehilangan nyawa yang dahsyat di Palestin dan Ukraine.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan presiden yang akan datang untuk memupuk manfaat bersama bagi rakyat kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN