PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan 50 naskhah al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol kepada Persatuan Islam Peru.
Serahan dilakukan dalam pertemuan beliau bersama anggota persatuan itu diketuai Presidennya, Murad Hamida.
Anwar berkata, menerusi pertemuan yang berlangsung selama 30 minit, pembangunan umat Islam di Peru menjadi topik perbincangan utama.
“Mereka memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas Israel,” katanya dalam Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’ di Peru.
Turut dibangkitkan, komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru. – UTUSAN