PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat dalam cubaan untuk menggagalkan pelaburan masuk ke Kedah seperti didakwa Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perdana Menteri berkata, beliau mengambil keputusan untuk membawa masuk pelaburan syarikat permotoran gergasi Korea Selatan, Hyundai Motor untuk bertapak di Kedah.
“Walaupun dia kata begitu, saya masih sokong Hyundai untuk labur (di Kedah). Mereka ada pilihan beberapa tempat, tetapi kerana beberapa infrastruktur telah disediakan.
“Dia juga akan eksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang Pulau Pinang. Maka kita cadang (mereka bawa pelaburan) di Kulim, dan mereka setuju. Saya pun ejen Kedah juga,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar tertutup bersama wakil media Malaysia di Seoul.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan bermula Ahad lalu diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
Terdahulu, media melaporkan, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat ‘perancangan besar’ untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri terbabit.
Menurutnya, syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya menarik diri daripada projek yang diumumkan.
Beliau memberi contoh keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) yang menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion namun tidak mendedahkan puncanya. – UTUSAN